08 February 2008

Bantulah Zaid!

Salam hormat kepada semua pembaca,

Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi cerita dan pengalaman getir seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak remaja lelaki kurang upaya (OKU) yang gigih berusaha untuk mencari sekelumit simpati daripada badan kebajikan yang berotoriti di daerah Temerloh ini untuk bantuan sara hidup bagi anaknya yang tidak mampu menguruskan diri sendiri apatah lagi untuk bekerja.

Menurut Puan Wan Mariam Binti Wan Awang, yang menetap di No.17, Lorong 1F, Taman Bukit Bendera, Mentakab,anak sulungnya, Mohd Zaid Zainuddin, 23, telah mengalami penyakit yang tidak dapat dikenalpasti oleh pihak hospital itu semenjak kecil lagi. Semasa Mohd Zaid berusia dalam lingkungan 6-7 tahun, Puan Mariam menyedari keanehan yang terjadi kepada Mohd Zaid, iaitu, selalu sahaja kepalanya terkulai dengan tidak semena-mena. Sejak dari itu, aktiviti zaman kanak-kanak Mohd Zaid terbatas dek kerana dia sering mengadu sakit kepada ibunya.

Keadaan bertambah teruk lagi apabila suami Wan Mariam meninggal dunia 3 tahun lalu. Semuanya bergantung kepada dia yang tidak bekerja dan hanya mengharapkan pencen yang tidak seberapa untuk menguruskan Mohd Zaid dan dua orang lagi anaknya yang baru menjejakkan kaki ke IPTA.

Beliau menceritakan birokrasi dan ketidaktelusan sebuah Jabatan kerajaan yang 'memilih bulu' untuk memberi bantuan. Dengan keadaan beliau yang tidak dapat bekerja kerana menjaga anaknya itu, masih ada lagi alasan untuk pihak terbabit menolak permohonan kebajikan ibu muda ini. Jika syaratnya untuk bantuan tersebut adalah untuk anak-anak yang berumur bawah 20 tahun sahaja, persoalannya, adakah warganegara yang lebih 20 tahun yang kurang upaya seperti Mohd Zaid ini tidak layak mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat?

Tepuk dada tanyalah iman.Sekiranya remaja ini tidak dibantu, siapa lagi yang boleh dia harapkan. Mohd Zaid tidak minta dilahirkan cacat begitu. Dan sepanjang berada di rumahnya, saya merasa sayu dan insaf serta bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana saya dilahirkan dalam keadaan sempurna.

Sesiapa yang ingin membantu Puan Wan Mariam, beliau memerlukan kerusi roda untuk kegunaan Mohd Zaid. Menurutnya, sudah hampir 3 tahun Mohd Zaid tidak dapat ke hospital kerana ibunya tidak mampu untuk membawanya dan disebabkan masalah kewangan. Paling tidak, dengan kerusi roda itu, beliau mampu membawa kembali Mohd Zaid menerima rawatan di hospital.

Salurkan sumbangan ikhlas anda kepada puan Wan Mariam Bt Wan Awang, Akaun Maybank : 106025337899.Semoga usaha kecil ini mendapat simpati kawan-kawan dan seterusnya membantu apa jua yang kalian mampu.

Sekian.


No comments: