09 November 2007

Rahsia Bisnes Orang Jepun

Saya amat berminat untuk mendalami dan memahami sikap dan sifat masyarakat Jepun, lantas apabila terjumpa buku di sebuah toko buku di Kuantan, saya terus membelinya. Penulisnya yang tidak asing dipendengaran saya, Ann Wan Seng adalah seorang yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana bidang Antropologi & Sosiologi (kebetulan bidang yang sama dengan saya) dari Universiti Malaya. Buku tersebut ialah Rahsia Bisnes Orang Jepun mengupas pelbagai sudut sikap dan sifat serta budaya masyarakat di negara matahari terbit itu.

Orang Jepun terkenal dengan budaya Keisan ataupun 'gila kerja'. Budaya inilah yang membantu mereka berjaya dalam bisnes. Kunci kejayaan mereka ialah keinginan yang tinggi bagi memperbaiki diri dan pencapaiannya. Konsep keisan yang bermakna pembaharuan secara berterusan dalam budaya kerja mereka meliputi ciptaan baru,idea baru, produk baru dan cara hidup yang baru.Bagi melakukan pembaharuan, mereka perlu sentiasa bersikap kreatif,inovatif dan produktif.Mereka percaya dengan berimaginasi semata-mata tidak dapat menghasilkan idea dan ciptaan yang baru. Oleh sebab itu, mereka melakukan perbincangan secara berkumpulan dan setiap individu berpeluang melontarkan idea dan pandangan mereka dengan bebas, tanpa sekatan.

Dalam organisasi Jepun, setiap anggota sama ada pada peringkat bawahan, pertengahan ataupun atasan mempunyai peranan dan kepentingan yang serupa. Organisasi Jepun tidak menghargai individu ataupun pekerja yang berlagak dan mementingkan diri. Pada mereka, kejayaan sesebuah organisasi tidak boleh dianggap sebagai kejayaan individu, tetapi hasil daripada kerjasama yang kolektif. Bagi orang Jepun, perundingan dan perbincangan bukannya bagi menghasilkan keputusan yang lebih baik. Ia sebaliknya melibatkan orang lain dalam perkara yang hendak dibincangkan.Hubungan antara setiap anggota tanpa mengira kira jawatan dan kedudukan adalah rapat dan saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Bayangkanlah, pegawai atasan di pejabat pun duduk sebaris dengan pekerja bawahan atau sebelah menyebelah meja masing-masing. Di Malaysia, seorang 'bos' mesti ada biliknya sendiri.Bercakap dengan pekerja pun jika ada tugas yang hendak diberikan kepada pekerja.Kalau tidak, kau buat kerja kau, aku buat kerja aku!

Sebagai contoh, Rahsia Kejayaan Matsushita
  • Mengamalkan seni pengurusan melalui komunikasi daripada bawah ke atas
  • Tidak mengikut strategi pemasaran yang konvensional
  • Tidak menggunakan nama syarikat sebagai jenamanya
  • Memberikan pengedarnya sumber dana
  • Strategi pemasaran produk pada harga yang rendah.

Masih banyak yang perlu dipelajari oleh kita tentang masyarakat Jepun dan cara kerja mereka. Selama lebih seratus tahun , Jepun adalah sebuah negara yang paling banyak meniru dari negara luar.Namun kini, negara luar pula meniru dan cuba belajar dari Jepun berkenaan rahsia serta kejayaannya muncul sebagai kuasa besar ekonomi dunia Siapapun tidak menduga, bangsa yang tidak mempunyai fizikal yang besar dapat mengalahkan orang barat yang dikatakan lebih maju dan bertamadun.Tidak salah untuk kita meniru perkara yang positif asalkan impak yang kita dapat juga memberi kebaikan kepada diri,masyarakat dan negara kita.

Kita Boleh jika kita mahu! Malaysia kan Boleh!

No comments: