12 November 2007

Penjenayah Semakin Berani

Sekiranya anda sedang memandu bersendirian, jangan berhenti sekiranya anda diminta berhenti oleh orang yang tidak anda kenali. Ikuti kisah ini untuk teladan..

JOHOR BAHRU: "Jika kereta anda diketuk atau dilanggar di tempat gelap, jangan berhenti sebaliknya terus ke balai polis," itulah pesanan seorang mangsa samun, Lee Hsien, 45, supaya orang ramai tidak menjadi mangsa seperti dirinya. Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Ahad lalu, Lee yang memandu bersendirian di Susur 4, Jalan Tun Abdul Razak, di sini, tiba-tiba terdengar bunyi bahagian belakang sebelah kiri keretanya diketuk. Katanya, apabila melihat cermin sisi dia mendapati dua motosikal, masing-masing sebuah di kiri dan kanan dengan pembonceng dan penunggang. "Ketika itu, saya melihat penunggang motosikal di sebelah kiri dan dia menunjukkan isyarat meminta saya berhenti.

"Bagaimanapun, apabila saya memandu ke sisi jalan lelaki itu kemudiannya menunjukkan isyarat supaya saya terus bergerak, mungkin disebabkan terdapat kereta lain di belakang saya.
"Saya meneruskan perjalanan namun apabila ingin membelok ke Jalan Yahya Awal, penunggang motosikal itu bersama pemboncengnya memintas kereta saya dan terus memberhentikan kenderaannya di hadapan kereta saya. "Saya terkejut dengan kelakuannya itu dan menurunkan tingkap, penunggang berkenaan menghampiri saya manakala rakannya mengekorinya bersama besi berbentuk U," katanya.Menurutnya, lelaki berkenaan kemudiannya bertanya 'awak dari mana?' dan apabila dia menjawab dari pusat bandar, lelaki itu terus mematikan enjin kenderaannya. Katanya, ketika itu sebuah motosikal lain dengan pembonceng dan penunggang tiba-tiba menghampirinya dan dua lelaki berkenaan terus turun dari motosikal dan seorang daripada mereka memukulnya menggunakan topi keledar. "Saya dipukul kira-kira enam kali di muka hingga muka berlumuran darah disebabkan kelopak mata koyak.

Lelaki yang memberhentikan motosikal di hadapan kereta saya itu kemudiannya menahan dua lelaki daripada terus memukul saya dan meminta saya menyerahkan semua wang kepadanya. "Kebetulan, saya yang dalam perjalanan membayar kad kredit membawa RM1,300 dan terus menyerahkan wang itu kepadanya bersama telefon bimbit, kad kredit serta lesen memandu," katanya.Menurutnya, empat lelaki itu melarikan diri manakala dia yang juga ahli St John Ambulans daerah ini cuba menghentikan pendarahan di matanya sebelum memandu ke rumah seorang rakan di Jalan Trus, di sini. Katanya, rakannya itu kemudiannya membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan dan dia perlu mendapatkan kira-kira 10 jahitan akibat hentakan berulang kali menggunakan topi keledar.

"Saya membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, di sini. Saya berharap orang ramai akan lebih berhati-hati sekiranya kereta mereka diketuk lelaki tidak dikenali, bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

No comments: